BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 13, 2009

SENI HALUS


PENGENALAN:
Masyarakat Malaysia begitu kaya dengan warisan seni halus yang diwarisi sejak zaman berzaman. Tenunan, sulaman, tekat dan ukiran umpamanya adalah antara seni halus yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan. Kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini. Beberapa topik berkaitan bidang seni halus yang akan dipaparkan dalam lama web ini adalah anyaman, seni batik, pua kumbu, songket, tekat, kain dastar, kain tenun, manik, ukiran dan tembaga.

ANYAMAN:
Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.
Memproses Bahan
Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.
Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

0 comments: