BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 13, 2009

RUMAH TRADISIONAL

RUMAH TRADISIONAL MELAKA:
Ini merupakan rumah Melaka versi “Tiang 12”. Versi ini mempunyai reka bentuk ringkas dan mengandungi fungsi ruang secara asas, menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Reka bentuk rumah ini mengandungi serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur. Secara asas pelan rumah ini menyamai rumah kutai negeri Perak, perbezaannya terdapat serambi di bahagian hadapan rumah ini. Serambi adalah tempat berehat dan mengambil angin, melayan tamu dan meninjau aktiviti di hadapan rumah.
Keseluruhan dinding rumah diperbuat daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh. Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding, berbeza dengan rumah kutai Perak. Rumah ini mempunyai tebar layar bermotif bunga dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Kayu jerejak di serambi juga mempunyai ukiran yang ringkas sesuai dengan konteks kesederhanaan rumah ini.

RUMAH TRADISIONAL SELANGOR:
Rumah ini merupakan rekaan bumbung panjang yang terdapat di negeri Selangor. Ia mengandungi kombinasi anjung dan serambi yang agak besar dan menonjol. Hampir kesemua rekaan bumbung panjang adalah memanjang kebelakang apabila diperbesarkan mengikut keperluan semasa pemilik rumah. Rumah ini tidak mempunyai bumbung bertingkat seperti rumah Negeri Sembilan, tetapi mempunyai bumbung besar yang agak curam di rumah ibu. Seperti kebiasaan reka bentuk ini, tujuan bumbung yang besar (tebar layar) ini adalah untuk memerangkap angin agar ruang atap dapat diudarakan untuk tujuan menurunkan suhu di dalamnya.
Justeru, lebih besar rumah ibu, maka lebih besarlah atap tersebut. Rekaan luaran rumah ini mempunyai ukiran yang sederhana di bahagian atas tingkap. Tingkap mempunyai jerejak pendek yang terletak di atas palang bawah tingkap. Tingkap rumah ini terletak agak rendah dari paras lantai. Rumah ibu dinaikkan paras berbanding dapur, anjung, rumah tangga dan serambi. Ketinggian struktur atap membuatkan rumah ini kelihatan luas dan lega ketika berada di dalamnya. Ia juga bertujuan agar proses pengaliran udara yang lebih lancar dan selesa. Rumah ini tidak mempunyai selang, berbanding rumah bumbung besar yang lain.

RUMAH TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN:
Negeri Sembilan mempamerkan secara keseluruhan reka bentuk bumbung panjang yang bersifat Minangkabau. Ia mempunyai sifat reka bentuk atap yang bertingkat yang dialas daun rumbia. Rumah ini mempunyai serambi hadapan dan anjung yang meneduhkan tangga utama kemasukan ke Rumah Ibu melalui Serambi. Serambi dihiasi ukiran kerawang yang bercorak silang-menyilang. Rekaan tangga adalah ringkas. Tangga diikat atau dimatikan dengan rekaan kekunci dipapan yang menarik seperti yang boleh dilihat di dalam gambar.
Rumah ini dihiasi ukiran kayu yang banyak di sekeliling rumah, lebih-lebih lagi di sekitar Serambi hadapan rumah. Ukiran adalah bermotifkan silang dan bunga yang agak bersifat grafik. Bahagian anjung, serambi dan rumah ibu mempunyai aras yang berbeza.Rumah ibu mempunyai ruang yang terluas dan tertinggi. Terdapat bilik di rumah ibu dan tangga menghala ke loteng. Loteng ini mengambil lebihan ketinggian dan tingkat atap yang diberi ruang oleh struktur rumah ini.
Rumah ibu bersifat terbuka dan disambung ke rumah dapur melalui pintu yang menghala ke selang. Selang tidak berdinding dan merupakan pelantar kepada sebahagian fungsi dapur. Ianya berperanan sebagai ruang bersembang untuk kaum wanita. Rumah Negeri Sembilan ini memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh hingga sampai ke rumah dapur. Paras tingkapnya adalah sangat rendah, iaitu direka untuk paras orang duduk dan bukannya berdiri.

RUMAH TRADISIONAL PERAK:
Rumah ini adalah dari jenis bumbung panjang. Keistimewaan reka bentuknya adalah kerana ia lebih etnik dan ringkas. Reka bentuk ini juga dikenali sebagai rumah kutai. Rumah ini masih terdapat di negeri Perak dan telah berusia lebih 100 tahun. Antaranya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Kampung Kota Lama Kanan dan Kampung Bota Kanan, Parit.
Rumah ini menggunakan sepenuhnya bahan binaan semula jadi yang terdapat di sekeliling kampung. Struktur asas adalah kayu keras manakala atap dibuat dari daun rumbia dan dinding pelupuh dari anyaman buluh atau rotan.
Rumah ini mempunyai bumbung yang agak tinggi, tetapi terdapat sedikit keunikan dari segi keterbukaan rumah ini. Ia seolah-olah tidak mempunyai pengudaraan yang baik dan mencukupi. Dinding rumah mencapai ke paras rabung atap tanpa diselangi kerawang atau seumpamanya. Ini disebabkan dinding itu sendiri tembus angin, maka ianya tidak perlu hiasan kerawang dan sikap rendah diri penghuni rumah ini.
Keringkasan reka bentuk menunjukkan yang rumah kutai adalah untuk orang biasa berbanding rekaan lain yang lebih moden dan canggih seperti bumbung limas dan bumbung Perak. Rumah ini menyaksikan beberapa unsur seni struktur yang agak menarik, ringkas dan mempunyai fungsinya tersendiri.






0 comments: